Pengenalan
Golongan
belia sememangnya tidak dapat lari daripada terdedah kepada masalah-masalah
sosial yang berlaku dalam suasana di persekitaraan pada hari ini. Salah satu
isu yang dikaitkan dengan golongan belia yang rata-ratanya terdiri daripada
remaja dan pelajar ialah masalah lari dari rumah. Isu ini dilihat menjadi
semakin berleluasa pada masa kini sehingga ia dilihat telah menjadi asam garam
kepada golongan remaja yang bermasalah. Masyarakat pada hari ini memandang
golongan belia sebagai golongan yang mudah terdedah dengan masalah sosial,
sehingga ada yang melabelkan golongan belia di negara ini sebagai golongan yang
telah rosak moralnya kerana tenggelam dengan masalah-masalah, misalnya seperti
masalah lari dari rumah yang akan dibincangkan ini. Dalam hal ini kita tidak
boleh menyalahkan golongan belia semata-mata kerana sebenarnya terdapat
beberapa faktor mengapa golongan belia terlibat dengan kes lari dari rumah ini.
Perkara ini seharusnya perlu dilihat dari sudut yang lebih mendalam dan
bukannya melalui tanggapan-tanggapan awal yang negatif semata-mata. Bagi
membincangkan secara lebih mendalam mengenai isu masalah lari dari rumah
dikalangan belia ini, pengertian dan definisi perlu dinyatakan terlebih dahulu
untuk tujuan memahami dengan lebih terperinci. Secara umumnya kita mengetahui
bahawa belia yang lari dari rumah adalah belia yang meninggalkan rumah dengan
serta merta tanpa memberitahu ibu bapa kemana hala tujuan mereka. Dalam istilah
bahasa Inggeris lari dari rumah disebut sebagai runaway. Menurut Loh Kha
Bee (2009), lari dari rumah ialah satu tingkah laku atau perbuatan meninggalkan
rumah tanpa restu daripada ibu bapa menuju ke satu tempat yang biasanya tidak
diketahui oleh ahli keluarganya. Golongan belia adalah merupakan golongan yang
paling banyak dikaitkan dengan tingkah laku lari dari rumah ini, kebanyakan
daripada mereka meninggalkan rumah dengan memasang niat tidak akan pulang
semula ke rumah lagi. Sesetengah daripada golongan remaja tersebut biasanya
akan kembali dalam jangka masa tertentu seperti dalam masa beberapa hari,
beberapa minggu, beberapa bulan dan bertahun-tahun malahan ada juga yang tidak
kembali langsung sehingga diklasifikasikan sebagai orang hilang. Secara
umumnya individu yang lari dari rumah adalah mereka yang berasa putus asa dan
tidak gembira apabila berada di dalam rumah (Santrock, 2005). Daripada huraian
tersebut kita dapat mengetahui bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
belia berasa putus asa dan tidak gembira ketika berada di dalam rumah, semua
itu sebenarnya dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaraan. Jika ditinjau dari
sudut bilangan kes pula, tingkah laku lari dari rumah ini amat membimbangkan
dan menjadi semakin serius. Rangkaian Kebangsaan bagi Khidmat Belia misalnya
telah membuat anggaran bahawa setiap tahun lebih kurang 1.3 juta belia terlibat
dengan kes meninggalkan rumah (Neubeck & Neubeck, 1999). Jumlah tersebut
membuktikan kepada kita tentang betapa seriusnya masalah sosial yang melibatkan
golongan remaja ini.
Jenis-Jenis Tingkah Laku Lari Dari Rumah
Tingkah
laku lari dari rumah dapat dibahagikan atau dikategorikan kepada beberapa
jenis. Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Che Din yang merupakan Pengarah Institut
Sosial Malaysia menjelaskan bahawa isu remaja dan pelajar lari dari rumah yang
semakin berleluasa pada masa kini dapat dibahagikan kepada lima jenis
kategori.
Daripada
lima kategori lari dari rumah tersebut, salah satu jenis atau kategori lari
dari rumah tersebut ialah pelajar yang keluar dari rumah selepas berakhir
waktu sesi persekolahan. Remaja atau pelajar yang keluar dari rumah ini
meninggalkan rumah bagi tujuan menghabiskan masa dengan melepak bersama
rakan-rakan sebaya di sesuatu tempat, contohnya melepak di pusat membeli belah,
restoran, kedai-kedai makan, pusat hiburan dan sebagainya lagi. Punca utama
remaja keluar dari rumah bagi kategori lari dari rumah ini ialah disebabkan
mereka merasakan ketidakselesaan apabila berada di dalam rumah. Lazimnya mereka
akan berasa kekurangan seperti kurang seronok apabila mereka berada di rumah
dan sentiasa memikirkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang menghiburkan di
luar rumah bersama rakan-rakan. Bagi jenis tingkah laku lari dari rumah ini,
remaja biasanya akan pulang semula ke rumah menjelang lewat petang setiap hari.
Jangka waktu remaja lari dari rumah ini dilihat amat singkat, namun masalah ini
boleh juga dikategorikan sebagai tingkah laku lari dari rumah. Bagi
jenis tingkah laku lari dari rumah yang kedua pula, remaja yang digolongkan dalam
kategori ini ialah remaja yang sengaja keluar rumah dalam jangka masa
beberapa hari dengan memberi alasan kepada ibu bapa bahawa mereka terlibat
dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kerja sekolah. Lazimnya
mereka akan meminta kebenaran daripada ibu bapa tetapi tidak memaklumkan secara
tepat ke mana mereka hendak pergi. Bagi kategori tingkah laku lari dari rumah
ini, remaja dilihat cuba berbohong kepada ibubapa mereka bahawa mereka perlu
melakukan tugas-tugas yang baik atau berfaedah. Hal ini menyebabkan ibu bapa
tidak teragak-agak untuk memberikan kebenaran kepada anak-anak untuk keluar
dari rumah disebabkan tujuan mereka keluar dari rumah adalah baik. Sebenarnya
tujuan remaja berbuat demikian adalah untuk melepaskan keinginan mereka agar dapat
menghabiskan masa yang banyak bersama-sama rakan untuk berhibur. Remaja seperti
ini cenderung menumpang di rumah rakan-rakan sebaya yang mempunyai keluarga
yang lebih menerapkan nilai-nilai kebebasan berbanding suasana remaja yang lari
dari dari rumah tersebut yang mungkin hidup dalam konkongan daripada ibu bapa.
Jangka waktu remaja lari dari rumah bagi kategori ini dilihat lebih panjang
sedikit iaitu dalam masa beberapa hari berbanding dengan tingkah laku remaja
lari dari rumah kategori yang pertama. Kategori
tingkah laku remaja lari dari rumah yang ketiga adalah lebih kurang sama dengan
kategori yang kedua, apa yang membezakannya ialah dari segi bagaimana remaja
membuat alasan untuk keluar dari rumah. Dalam situasi ini remaja biasanya
akan menjadikan orang-orang yang dikenali oleh keluarganya seperti abang,
kakak, keluaga angkat, abang angkat sepupu dan sebagainya dengan memberi alasan
bahawa remaja tersebut keluar bersama-sama mereka. Alasan yang mengaitkan
untuk keluar bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga, saudara atau
kenalan-kenalan tersebut sebenarnya adalah sebagai satu “lesen” kepada remaja
untuk keluar dari rumah dan tidak pulang dalam tempoh jangka masa selama
beberapa hari ataupun beberapa minggu. Lazimnya ibu bapa akan membenarkan
anak-anak mereka keluar rumah apabila mereka keluar bersama-sama orang yang
mereka kenali. Sebenarnya semua itu hanyalah sebagai satu alasan yang diberikan
oleh remaja, sebaliknya apabila mereka telah diberikan kebenaran untuk keluar,
mereka akan melencong ke destinasi lain, contohnya melepak di rumah kawan
sepuas-puasnya selama beberapa hari. Bagi kategori ini, jangka waktu remaja
lari dari rumah adalah sama dengan kategori kedua tingkah laku remaja lari dari
rumah tadi, namun jangka masa lari dari rumah tersebut boleh menjangkau
sehingga kepada beberapa minggu. Seterusnya
ialah kategori yang keempat, bagi kategori ini punca remaja lari dari rumah
tidak dapat dikenal pasti. Remaja yang lari dari rumah dalam kategori ini
boleh dikatakan mempunyai struktur kekeluargaan yang lemah, hal ini kerana
struktur keluarga yang lemah dan longgar akan mempengaruhi perkembangan
anak-anak. Remaja yang lahir dalam suasana kekeluargaan ini akan menyebabkan
remaja menjadi bebas, mereka bebas pergi ke mana sahaja yang mereka kehendaki dan
akan pulang semula ke rumah mengikut kehendak mereka. Selain itu, remaja
seperti ini juga lazimnya inginkan kebebasan dimana mereka hanya pulang ke
rumah selepas tempat yang ditujui remaja tersebut sebenarnya adalah lebih teruk
jika dibandingkan dengan persekitaraan di rumah. Sebagai contohnya remaja yang
lari dari rumah tersebut dijadikan mangsa dera atau mangsa seks oleh
pihak-pihak dan individu tertentu sama ada di dalam rumah ataupun di luar
rumah. Keadaan ini menyebabkan remaja seperti ini akan sentiasa berubah-ubah
sama ada ingin duduk di rumah ataupun duduk di luar rumah. Dari segi jangka
masa remaja lari dari rumah bagi kategori ini pula adalah tidak tentu, dimana
ia bergantung kepada remaja tersebut selama mana mereka akan berada di dalam
rumah ataupun berada di luar rumah. Semua ini adalah bergantung bagaimana
bentuk persekitaraan yang diterima oleh remaja, jika remaja tersebut merasakan
mereka dilayan dengan buruk di rumah maka mereka akan memutuskan untuk lari
dari rumah dan sebaliknya jika mereka dilayan dengan buruk apabila berada di
luar rumah maka mereka akan kembali semula ke rumah. Bagi
kategori tingkah laku lari dari rumah kelima pula ia melibatkan kes yang
lebih tegar. Remaja yang lari dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai
pelari tegar kerana mereka keluar dan lari dari rumah dengan tujuan untuk tidak
ingin kembali langsung ke pangkuan keluarga. Lazimnya kes-kes seperti ini
adalah melibatkan remaja yang menghadapi konflik dalam diri dan dengan orang
lain. Sebagai contohnya remaja tersebut menginginkan kebebasan yang sepenuhnya
tanpa ada apa-apa kongkongan daripada ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah
secara tegar juga boleh disifatkan sebagai mereka yang lari mengikut ajakan
daripada rakan sebaya, bagi remaja yang bercinta tetapi cinta tersebut tidak
direstui oleh keluarga masing-masing mereka akan cenderung untuk lari dari
rumah. Situasi seperti ini menyebabkan remaja membuat keputusan untuk
meninggalkan rumah akibat kecewa dengan sikap ibu bapa mereka. Oleh sebab jenis
tingkah laku lari rumah ini diklasifikasikan sebagai kes lari dari rumah tegar
maka jangka waktu mereka lari dari rumah juga adalah begitu panjang sehingga
mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun lamanya.
Punca Masalah Remaja Lari Dari Rumah
Terdapat
beberapa punca yang menyebabkan belia lari dari rumah. Salah satu punca utama
tersebut ialah tekanan yang dihadapi dalam keluarga tersebut. Dari segi
aspek psikologikal, ibu bapa di rumah tidak dapat memahami perasaan yang
dialami oleh anak-anak, apa yang mereka inginkan dan apa yang mereka perlukan.
Ibu bapa kurang mengendahkan kepentingan keperluan belia dari segi psikologi
contohnya seperti keperluan keselamatan dan dimiliki, keperluan kepada
autonomi, keperluan kompentensi perasaan dan penghargaan kendiri serta
keperluan untuk difahami (Neubeck & Neubeck, 1999). Sebaliknya apa yang
berlaku ialah keadaan tegang yang disebabkan oleh tekanan yang dihadapi oleh
ibu bapa menyebabkan hubungan dalam keluarga menjadi semakin tegang. Keadaan
keluarga seperti ini akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara seperti
keganasan dalam rumah tangga, penderaan fizikal, penderaan seksual dan
sebagainya lagi yang memberikan kesan emosi yang mendalam terhadap anak-anak.
Kegagalan ibu bapa dalam memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya
sehingga mengabaikan keperluan anak-anak telah menjadi pendorong kepada belia
untuk melarikan diri dari rumah. Setelah dari rumah, mereka akan melakukan apa
sahaja perkara yang mana mereka tidak dapat sewaktu berada di dalam rumah (Santrock,
2005). Masalah
yang berlaku dalam keluarga ini dilihat sebagai punca utama mengapa golongan
belia terdedah dengan kes-kes lari dari rumah. Hasil kajian yang dijalankan di
negara ini yang dilakukan oleh Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
Nasional (PIBGN) mendapati bahawa kira-kira sepuluh peratus daripada ibu bapa
di negara ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin bagi
membimbing dan mencorak anak-anak ke arah kebaikan, situasi ini menyebabkan kes
lari dari rumah semakin hari semakin meningkat dan berada pada tahap yang
membimbangkan. Presiden PIBGN, Mohammad Ali Hassan menjelaskan bahawa
kebanyakan alasan yang diberikan oleh ibu bapa khususnya golongan bapa yang
bekerja ialah mereka sering sibuk di tempat kerja, sehingga menyebabkan waktu
untuk meluangkan masa bersama anak-anak sangat terbatas, sebaliknya apa yang
berlaku ialah tugas tersebut diserahkan pula kepada pembantu rumah ataupun
isteri yang tidak bekerja. Kajian yang dijalankan ini juga mendapati bahawa ibu
bapa berkomunikasi dengan anak-anak kurang daripada 30 minit setiap hari, hal
ini mengakibatkan jurang antara ibu bapa dan anak-anak semakin besar sehingga
akhinya anak-anak lebih berasa selesa untuk mencari rakan di luar rumah bagi
meluahkan perasaan mereka. Punca
yang menyebabkan golongan belia terlibat dengan isu lari dari rumah ialah
akibat terpengaruh dengan rakan sebaya. Sudah menjadi kebiasaan bahawa
setiap remaja akan terdedah dengan persekitaraan tertentu dan salah satunya
ialah pergaulan dengan rakan sebaya. Rakan sebaya ini adalah merupakan individu
yang paling rapat dengan remaja, oleh itu hal ini akan menyebabkan remaja akan
cenderung untuk mudah terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Rakan sebaya itu
mungkin saja boleh terdiri daripada rakan-rakan sewaktu berada di sekolah
ataupun rakan-rakan yang berada di lingkungan kawasan tempat tinggal remaja
tersebut. Lazimnya remaja akan mudah menerima nasihat yang negatif ataupun
mudah terikut-ikut dengan perangai negatif rakan sebaya mereka. Sebagai contohnya
remaja mungkin akan menerima nasihat daripada rakan sebayanya bahawa lari dari
rumah dan mencari kebebasan di luar adalah lebih baik berbanding dengan duduk
di rumah dikawal oleh ibu bapa. Dalam hal ini pemikiran remaja boleh dikatakan
masih belum cukup matang dan rasional sehingga menyebabkan mereka menerima
bulat-bulat nasihat dan ajakan negatif daripada rakan sebaya mereka. Remaja
juga cenderung terpengaruh dengan perangai rakan sebaya, misalnya jika rakan
sebayanya itu gemar mencari hiburan di luar rumah, kesannya remaja juga akan
mudah terikut-ikut dengan perangai rakannya itu sehingga sanggup melarikan diri
dari rumah semata-mata mencari kepuasan bersama rakan sebaya mereka. Punca
lain yang dilihat menyebabkan golongan belia dan remaja terbabit dengan kes
lari dari rumah ialah disebabkan oleh masalah yang berlaku di sekolah.
Dalam suasana sekolah terdapat beberapa keadaan yang dapat memberi tekanan
kepada remaja sehingga sanggup lari dari rumah. Antara faktor-faktor tersebut
ialah harapan yang terlalu tinggi daripada guru terhadap pelajar atau remaja
tersebut, selain itu tekanan terhadap remaja juga boleh timbul apabila prestasi
akademik yang dicapainya berada di tahap rendah, situasi seperti ini akan
menjadikan remaja menjadi takut jika prestasi akademiknya yang rendah diketahui
oleh ibu bapa, kesannya remaja mengambil keputusan untuk lari dari rumah.
Selain itu terdapat juga pengalaman-pengalaman yang berlaku di sekolah
menyebabkan remaja rasa tertekan, antara pengalaman tersebut adalah seperti remaja
dilabel secara negatif oleh guru, dihalang daripada menerima sebarang peneguhan
seperti pujian, didiskriminasi atas sebab status sosioekonominya yang rendah,
disingkirkan atau dihalau dari memasuki kelas, dirotan oleh guru dan sebagainya
lagi (Neubeck & Neubeck, 1999). Kelemahan gabungan di antara masalah
keluarga dan masalah di sekolah ini seperti ini akhirnya akan menyebabkan
remaja cenderung lari dari rumah bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi oleh
mereka. Sebenarnya
banyak lagi punca yang menyebabkan mengapa golongan belia atau remaja lari dari
rumah antaranya ialah seperti terpengaruh dengan budaya barat yang
mengagung-agungkan konsep liberalisme atau kebebasan dalam kehidupan sosial,
remaja-remaja di luar negara khususnya di barat dilihat bebas untuk mengamalkan
cara hidup mereka mencari hiburan sehingga sanggup meninggalkan rumah. Punca
lainnya ialah seperti kurangnya pegangan agama dimana remaja sanggup
meninggalkan rumah tanpa memaklumkan kepada ibu bapa, tindakan remaja seperti ini
dilihat tidak menghormati ibu bapa. salah satu isu yang menarik disini ialah
mungkin ada yang mengaitkan status sosioekonomi keluarga yang rendah juga
sebagai punca berlakunya kes lari dari rumah ini. Menurut Santrock (2005),
masalah lari dari rumah di kalangan remaja tidak semuanya berlaku di kalangan
masyarakat yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah, sebaliknya ia
berlaku atas kemahuan remaja sendiri akibat daripada beberapa masalah lain yang
timbul seperti masalah dalam keluarga. Bagi remaja yang hidup dalam status
sosioekonomi yang sederhana, lari dari rumah adalah merupakan sebagai satu cara
mereka lari daripada ibu bapa yang dirasakan bersikap hipokrit dimana
masyarakat memandang mereka sebagai keluarga yang memegang nilai moral yang
tinggi, namun sebaliknya apa yang berlaku ialah remaja tersebut hidup dalam
suasana keluarga yang longgar daripada apa yang dianggap sebagai keluarga yang
ideal.
Kesan Dan Risiko Remaja Yang Terbabit Dalam Masalah Lari Dari Rumah
Golongan
belia atau remaja yang lari dari rumah akan menyebabkan beberapa kesan buruk
berlaku khususnya terhadap remaja yang lari tersebut. Kajian yang dijalankan
sebelum ini mendapati beberapa masalah yang akan timbul apabila remaja lari
dari rumah, kebanyakan remaja yang lari dari rumah cenderung melibatkan diri
dengan penyalahgunaan bahan, mereka didapati menghisap rokok, meminum alkohol
dan menyalahgunakan beberapa jenis dadah berbanding remaja yang tidak terlibat
dengan masalah lari dari rumah (Grenee, Ennet, & Ringwaltz, 1997). Remaja
yang lari dari rumah akan mengalami risiko penyalahgunaan bahan dan juga
jenayah keganasan lain. Remaja lazimnya akan mudah terperangkap dengan
masalah-masalah seperti dadah, alkohol, jenayah, pelacuran, pornografi dan
sebagainya lagi. Situasi seperti ini berlaku apabila remaja lari dari rumah,
remaja menjadi bebas tanpa kongkongan daripada mana-mana pihak termasuklah ibu
bapa. kebebasan itulah yang menyebabkan remaja akan cuba mencari keseronakan
bersama-sama rakan sebaya mereka. Hal ini menyebabkan remaja mudah terdedah
dengan pengambilan pelbagai jenis dadah seperti syabu, ganja, pil ecstacy, heroin
dan sebagainya lagi. Salah satu jenis dadah yang sering disalahgunakan oleh
remaja ialah syabu atau istilah lainnya dipanggil sebagai “Ice”, dadah ini
adalah merupakan sejenis dadah perangsang methamphetamine yang paling
popular disalahgunakan (Clinard & Meier, 2004). Selain itu, remaja seperti
ini juga akan cenderung melibatkan diri dengan pengambilan alkohol, pengambilan
bahan ini sering dikaitkan dengan tujuan untuk berhibur bersama rakan-rakan
yang lain. Kesannya ialah remaja mungkin akan jadi tertagih dengan alkohol sehingga
boleh menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak di kalangan remaja yang lari dari
rumah dan menerima pengaruh-pengaruh seperti ini. Remaja
yang lari dari rumah juga terdedah kepada salah laku atau jenayah yang
berkaitan dengan jenayah seksual. Bagi golongan dan remaja yang lari dari
rumah khususnya remaja perempuan, mereka akan cenderung melibatkan diri dengan
aktiviti-aktiviti pelacuran, pornografi, menjadi mangsa keganasan seks dan
sebagainya lagi. Remaja perempuan yang lari dari rumah akan menyebabkan mereka
tidak dapat menanggung kos perbelanjaan seharian, situasi seperti ini akan
menyebabkan golongan gadis ini terdesak untuk menjual tubuh badan sendiri atau
melibatkan diri dengan kegiatan pelacuran dan pornografi, kesan yang paling
serius sekali ialah mereka mungkin akan terdedah kepada sindiket-sindiket
pelacuran yang menjual gadis tempatan ke luar negara (Loh Kha Bee, 2009).
Golongan remaja perempuan yang lari dari rumah juga cenderung menjadi mangsa
seksual. Menurut Cauce (2004), remaja perempuan yang lari dari rumah dalam
lingkungan umur 13, 14, dan 15 tahun lebih banyak menjadi mangsa seksual
berbanding dengan remaja perempuan yang berumur lebih daripada 17 tahun. Ini
disebabkan mereka masih belum matang dan tidak mampu mempertahankan diri dalam
mengurangkan risiko-risiko yang mungkin mereka akan hadapi. Situasi-situasi
seperti ini akan menyebabkan membawa kepada beberapa lagi masalah seperti
komplikasi dan gangguan psikologi yang mungkin akan dihadapi oleh golongan
belia dan remaja yang terlibat dalam kes lari dari rumah ini. Antara
kesan komplikasi penyakit yang mungkin dihadapi oleh remaja yang terlibat
dalam kes lari dari rumah ini ialah seperti penyakit kelamin, kehamilan di luar
perkahwinan, jangkitan penyakit HIV/AIDS dan sebagainya lagi.
Penyakit dan masalah ini adalah disebabkan oleh kesan daripada aktiviti sosial
yang dijalankan oleh remaja yang lari dari rumah. Penyakit kelamin seperti sifilis
adalah merupakan penyakit yang biasa dihadapi oleh mereka yang melakukan
hubungan seks tanpa mengambil langkah keselamatan seperti pengunaan sarung
kondom, dimana ia adalah merupakan penyakit yang mudah berjangkit kepada remaja
yang sering bertukar-tukar pasangan. Kehidupan sosial yang bebas terhadap
remaja yang lari dari rumah ini akan menyebabkan beberapa lagi masalah seperti
kehamilan di luar perkahwinan, perkara-perkara seperti ini sudah tentu akan
menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku di dalam masyarakat. Akhir
sekali ialah remaja seperti ini akan mudah terdedah kepada penyakit serius
seperti AIDS pembawaan virus HIV. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan
terhadap golongan remaja yang lari dari rumah ini, dilaporkan bahawa remaja
lelaki dan remaja perempuan yang menjadi mangsa seksual didapati lebih berisiko
menghidapi penyakit pembawaan HIV berbanding daripada remaja yang bukan
merupakan mangsa seksual (Grenee, Ennet, & Ringwaltz, 1999). Selain
itu remaja yang lari dari rumah juga cenderung menghadapi masalah dari sudut
psikologikal seperti kemurungan, tekanan, kecelaruan tingkah laku, mencederakan
diri sendiri dan akhirnya melakukan percubaan membunuh diri. Masalah
psikologi yang dihadapi oleh mereka ini mungkin disebabkan oleh masalah yang
timbul akibat daripada tindakan mereka yang lari dari rumah. Lazimnya
perasaan-perasaan seperti rasa menyesal, menyalahkan diri sendiri dan
menyalahkan nasib yang menimpa dirinya akan memberikan kesan terhadap emosi
remaja. Sebagai akibatnya remaja-remaja seperti ini akan mengalami kecelaruan
yang disebut sebagai proses pencacatan-kendiri (self-mutilation),
pencacatan-kendiri adalah merujuk kepada tindakan menyakiti atau mencederakan
diri sendiri. kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati bahawa sebanyak 69
peratus daripada remaja yang terlibat dalam masalah lari dari rumah adalah
mereka yang didapati mengalami masalah pencacatan-kendiri, iaitu salah satu
masalah psikologi yang akan memberi kesan terhadap kesihatan fizikal mereka.
Kajian ini juga mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang ketara dari segi
jumlah bilangan remaja lelaki dan remaja perempuan lari dari rumah yang
menghadapi kecelaruan pencacatan-kendiri (Tyler, et al., 2003).
Langkah Mengatasi Remaja Lari Dari Rumah Dan Intrevensi Yang Berkaitan
Terdapat
beberapa langkah yang boleh diambil sebagai cara untuk membendung remaja
daripada terlibat dengan masalah dan kes lari dari rumah. Salah satu langkah
mengatasi masalah ini ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
Kita sedia maklum bahawa salah satu punca utama yang menyebabkan remaja lari
dari rumah adalah disebabkan oleh masalah keluarga yang berlaku di dalam rumah.
Bagi mengelak anak-anak atau remaja lari dari rumah, ibu bapa sepatutnya
haruslah memahami perasaan anak tentang apa yang mereka inginkan dan apa yang
diperlukan oleh mereka dari sudut pendekatan emosi dan psikologikal dan
bukannya dengan hanya memberikan anak-anak keperluan material semata-mata. Ibu
bapa seharusnya sedar dan tidak menganggap bahawa dengan hanya memberi
keperluan material seperti memberi mereka wang, pakaian, tempat tinggal dan
sebagainya sudah cukup menjadikan anak-anak mereka berasa bahagia. Sebenarnya
anak-anak atau remaja juga menginginkan keperluan dari sudut psikologi seperti
keperluan keselamatan dan dimiliki, keperluan kepada autonomi, keperluan
kompentensi perasaan dan penghargaan kendiri serta keperluan untuk difahami
(Neubeck & Neubeck, 1999). Jika ibu bapa mengambil berat terhadap
perkara-perkara ini sudah tentu remaja tidak akan memberontak sehingga sanggup
lari dari rumah. Ibu bapa seharusnya melibatkan diri sepenuhnya dengan
mengambil tahu masalah anak-anak mereka. Kasih sayang dan kemesraan daripada
ibu bapa sudah tentu dapat memberikan kebahagiaan kepada anak-anak sekaligus
mengelak mereka daripada terjerumus ke dalam masalah lari dari rumah.
Langkah
yang kedua ialah dengan memantau peranan yang dimainkan oleh rakan sebaya.
Ibu bapa seharusnya mengambil tahu pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka.
Hai ini adalah untuk memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan
sebaya yang tidak baik. Kita sedia maklum bahawa rakan sebaya adalah merupakan
individu yang paling rapat dengan remaja, oleh itu remaja akan cenderung
terikut dengan tingkah laku yang dilakukan oleh rakan sebaya tidak kiralah
tingkah laku dan perbuatan itu baik atau tidak. Menurut Newman (1980), remaja
lazimnya akan membuat persepsi bahawa rakan sebaya adalah satu-satunya kumpulan
yang wujud, dimana rakan sebaya dipersepsikan sebagai tempat dimana remaja
menyempurnakan keperluan sosial mereka dan memberi mereka satu perasaan
dihargai. Dalam hai ini katakanlah remaja tersebut menghadapi konflik dengan
ibu bapa ini menyebabkan remaja tersebut tidak teragak-agak untuk lari dari
rumah dan pergi ke tempat rakan sebaya mereka. Sebagai langkah berjaga-jaga,
ibu bapa seharusnya tahu anak-anak mereka berkawan dengan siapa dan menghalang
mereka bersahabat dengan rakan sebaya yang tidak baik.
Satu
lagi cara untuk mengatasi remaja lari dari rumah ialah melalui peranan yang
dimainkan oleh masyarakat. Dalam hal ini pihak-pihak yang berkait secara
langsung dengan remaja seperti guru-guru di sekolah dan jiran-jiran seharusnya
bersama-sama membendung masalah ini. Unit-unit masyarakat seperti kaunselor dan
guru-guru di sekolah perlu memainkan peranan penting dalam mengesan pelajar
bermasalah kerana mereka cenderung untuk melarikan diri dari rumah, pihak-pihak
itu seterusnya perlu cuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi
masalah ini. Selain itu terdapat juga beberapa langkah yang boleh diambil oleh
unit-unit masyarakat yang lain seperti jiran tetangga untuk bersama-sama
membendung masalah ini. Jiran tetangga seharusnya perlu menanam semula nilai
hidup kolektivisme dimana masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran lain boleh
diselesaikan secara bersama-sama. Dalam hal ini masyarakat tidak boleh berpeluk
tubuh sahaja membiarkan remaja hanyut dan terjebak dengan masalah sosial
seperti ini.
Seterusnya
ialah peranan yang dimainkan oleh media. Media memainkan peranan penting
dalam perkembangan remaja yang boleh memberi kesan positif dan juga kesan
negatif, media membantu dalam mendapatkan maklumat berguna yang berguna kepada
kita, namun sebaliknya media juga boleh memberi kesan yang negatif. Remaja
biasanya akan mudah terpengaruh dengan aksi-aksi negatif yang sering dipaparkan
dalam media tidak kira sama ada yang dipaparkan dalam media elektronik seperti
televisyen mahupun media bercetak seperti majalah dan sebagainya lagi. Sebagai
contohnya apabila remaja menonton filem-filem barat yang memaparkan
kehidupan-kehidupan remaja barat yang berpusatkan kepada kebebasan dan
keseronokan sehingga ada yang sanggup lari dari rumah, remaja-remaja tempatan
cenderung terpengaruh dengan budaya kehidupan mereka. Dalam situasi ini ibu
bapa seharusnya memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak dalam perkara ini,
contohnya ialah memberi bimbingan kepada anak-anak semasa menonton sesuatu
rancangan televisyen dimana terdapat beberapa perkara dan maklumat negatif yang
perlu dielakkan daripada terus sampai kepada anak-anak.
Akhir
sekali ialah langkah-langkah yang dijalankan oleh institusi-institusi yang
terlibat dalam kemasyarakatan. Pada masa kini terdapat beberapa institusi
telah ditubuhkan yang berfokuskan kepada golongan belia khususnya terhadap
remaja. Institusi atau pertubuhan yang ditubuhkan melalui agensi kerajaan dan
badan-badan bukan kerajaan ini membantu mengelak golongan remaja di negara ini
terbabit dengan masalah-masalah sosial seperti masalah lari dari rumah ini.
Institusi seperti ini juga perlu menggalakkan lebih ramai lagi remaja untuk
menyertai program atau aktiviti yang dianjurkan. Program seperti bengkel
kepimpinan, ceramah, kem perkhemahan, aktiviti sukan, aktiviti keagamaan,
aktiviti kemasyarakatan, khidmat sosial komuniti dan sebagainya lagi dapat
memberi manfaat yang berguna kepada remaja sekaligus dapat mencegah remaja
terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, hal ini kerana masa yang
ada lebih ditumpukan kepada kegiatan yang berfaedah berbanding kegiatan yang
tidak berfaedah.
Statistik-Statistik Yang Berkaitan Dengan Kes Remaja Lari Dari Rumah
Berdasarkan
statistik pada tahun 2009, kebanyakan remaja lari dari rumah adalah disebabkan
oleh faktor mengikut kekasih. Dianggarkan sebanyak 99.9 peratus orang hilang
atas sebab mengikut kekasih adalah terdiri daripada golongan perempuan, namun
begitu terdapat juga kes dimana golongan belia lelaki yang lari dari rumah
mengikut kekasih. Kesemua kes tersebut adalah melibatkan bumiputera bukan
Islam. Salah satu fakta yang menarik disini ialah kebanyakan kes lari atau kes
golongan perempuan dilarikan oleh teman lelaki adalah golongan remaja yang
berusia dalam lingkungan 12 hingga 15 tahun.
Berdasarkan
statistik yang diterima daripada pihak polis pula, kes berkaitan dengan lari
dari rumah menunjukkan sebanyak 2, 540 kes adalah disebabkan oleh faktor lari
bersama teman lelaki, 1 857 kes disebabkan oleh faktor terpengaruh dengan
rakan-rakan, sebanyak 1 529 kes disebabkan oleh faktor masalah dalam keluarga
dan sebanyak 1 371 lagi lari dari rumah disebabkan oleh faktor ingin kebebasan.
Daripada jumlah kes tersebut, didapati bahawa remaja Melayu adalah golongan
yang paling ramai sekali terlibat dalam kes lari dari rumah iaitu 10, 489 kes
jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Analisis yang dibuat menunjukkan
bahawa faktor terpengaruh dengan rakan-rakan adalah faktor utama remaja Melayu
terlibat dengan kes lari dari rumah manakala bagi remaja Cina pula, faktor
utama yang menyebabkan mereka terlibat dengan kes lari dari rumah adalah
disebabkan oleh faktor masalah dalam keluarga (Loh Kha Bee, 2009).
Dalam
satu kajian yang dijalankan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) di sebuah pusat
kebajikan dan perlindungan di ibu negara, rata-rata remaja yang ditemui dan
ditemubual mengaku lari dari rumah di antara tiga hingga empat kali, terdapat
juga remaja yang mengakui bahawa mereka lari dari rumah sehingga tujuh kali
dalam satu tempoh tertentu. daripada maklumat tersebut didapati bahawa 70
peratus daripada mereka lari dari rumah adalah bertujuan menjalankan aktiviti
lepak bersama rakan-rakan dengan berjalan-jalan tanpa hala tuju. Kira-kira 10
peratus daripada jumlah remaja yang ditemui tersebut pula mengakui melakukan
aktiviti-aktiviti negatif yang lebih serius, contohnya seperti menghidu gam
bersama rakan-rakan.
Teori-Teori Psikologi/Sosiologi Yang Berkaitan Dengan Masalah Remaja Lari Dari Rumah
Teori Pembelajaran
Sutherland
(1992) (dlm. Clinard & Meier, 2004), telah menjelaskan bahawa tingkah
laku devian adalah disebabkan oleh pembelajaran dan bukannya disebabkan oleh
faktor-faktor seperti kurangnya kecerdasan, masalah dalam fungsi otak dan
sebagainya. Salah satu teori yang dikaitkan dengan teori pembelajaran dan
tingkah laku devian ini ialah teori peneguhan (Reinforcement Theory)
yang dikemukakan oleh Akers (1985, 1998). Beliau menerangkan bahawa tingkah
laku devian adalah disebabkan oleh pembelajaran berasaskan peneguhan atau
ganjaran.
Bagi
situasi masalah remaja lari dari rumah ini, remaja yang terlibat dalam
kegiatan ini mereka mempelajarinya melalui saluran-saluran media massa seperti
dalam televisyen dan media cetak yang lain. Apabila mereka mengetahui
kisah-kisah tersebut seperti filem barat yang memaparkan mengenai kehidupan
remaja di sana, mereka mendapati bahawa lari dari rumah ini boleh membawa
kepuasan dan kebebasan yang lebih kepada remaja berbanding duduk di rumah
tinggal bersama dengan keluarga. Sebenarnya terdapat elemen peneguhan dalam
situasi ini iaitu kebebasan yang mereka akan alami apabila mereka lari dari
rumah.
Keadaan
seperti ini dapat dikaitkan dengan pembelajaran pemerhatian yang diutarakan oleh
Albert Bandura. Menurut Ma’rof dan Haslinda (2003), pembelajaran pemerhatian
dinamakan sebagai “permodelan” dimana ia terhasil apabila manusia memerhatikan
tingkah laku orang lain dan mencatatkan konsekuen tingkah laku tersebut.
Dalam situasi ini remaja tempatan boleh dikatakan menjadikan remaja barat
sebagai model mereka. Remaja akan menjadi terikut-ikut dengan cara hidup dan
prinsip kebebasan atau liberalisme yang diamalkan dalam masyarakat barat
tersebut.
Teori Kawalan
Teori
yang mula diutarakan oleh Kornhauser (1978), menerangkan bahawa tingkah laku
devian adalah disebabkan oleh kekurangan kawalan terhadap individu daripada
kumpulan-kumpulan tertentu seperti keluarga, komuniti ataupaun masyarakat yang
hidup bersama-sama dengan individu tersebut. Hirschi (1969) (dlm. Clinard
& Meier, 2004), telah mengemukakan istilah ‘ikatan’ (Bond) yang
yang mengandungi empat perkara iaitu kedekatan (attachment), komitmen (commitment),
penglibatan (involvement), dan kepercayaan (belief). Kesemua
perkara tersebut dapat menghindari tingkah laku devian, jika perkara tersebut
tidak berlaku maka tingkah laku devian akan berlaku.
Dalam
situasi masalah remaja lari dari rumah ini, remaja yang tidak mendapat
kawalan sepatutnya daripada kumpulan tertentu seperti daripada ahli keluarga
akan mudah terjebak dengan masalah sosial ini. Sebagai contoh disini,
seseorang remaja tersebut mempunyai keinginan untuk mencari kebebasan dan ingin
lari daripada kongkongan ibu bapa di rumah serta ingin lari daripada
tekanan-tekanan yang dihadapi dalam keluarganya, dalam masa yang sama pula
kawalan dan perhatian daripada ahli keluarga indvidu tersebut adalah kurang,
keadaan ini akan menyebabkan remaja tersebut mengambil kesempatan ini untuk
lari dari rumah.
Kawalan
daripada kumpulan yang mempunyai kedekatan dengan remaja tersebut sebenarnya
sangat penting kerana ia dapat mengelak individu tersebut daripada terlibat
dengan masalah lari dari rumah di samping menyediakan sokongan sosial kepada
anak-anak. Hal ini kerana kumpulan tersebut seperti ahli keluarga, saudara
mara, jiran dan sebagainya dapat membetulkan apa sahaja perkara yang salah yang
dilakukan oleh remaja seperti ini. Misalnya dalam situasi tadi, ahli keluarga
seperti ibu bapa seharusnya memberi nasihat kepada remaja tersebut bahawa lari
dari rumah boleh membawa keburukan kepada diri sendiri. Namun apa yang
sebaliknya berlaku pada masa kini ialah ibu bapa hanya mementingkan aspek emosi
dan material mereka sendiri sehingga akhirnya mereka gagal untuk memberi
anak-anak mereka perhatian dan apa yang mereka perlukan (Santrock, 2007).
Situasi seperti ini menyebabkan aspek kawalan dalam keluarga itu menjadi
longgar sehingga menyebabkan remaja terbabit dalam masalah ini.
Teori Labelan
Teori
yang diperkenalkan oleh Becker (1963) menerangkan bahawa tingkah laku devian
adalah disebabkan oleh tindakan kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat
yang menetapkan peraturan dan kebenaran kepada orang yang melakukan kesalahan
(Clinard & Meier, 2004). Tindakan melabel seseorang seseorang sebagai
pesalah akan menyebabkan orang yang dilabel sebagai pesalah itu kehilangan
semangat untuk mencapai penyempurnaan kendiri dan berasa putus asa, walaupun
mereka telah insaf dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka.
Masalah
remaja lari dari rumah ini juga boleh dikaitkan dengan teori labelan ini.
Sebagai contoh dalam situasi ini, terdapat kelompok tertentu yang terus melabel
remaja yang telah insaf dan sedar akibat kesilapan mereka mengambil kerputusan
untuk lari dari rumah. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka berasa
berputus asa dengan sikap orang-orang seperti ini. Walaupun mereka telah
berazam untuk mengubah cara hidup mereka dan tidak ingin melakukan perbuatan
itu lagi, namun labelan yang dikenakan terhadap mereka ini menyebabkan mereka
merasakan seolah-olah masyarakat tidak mahu menerima diri mereka. Labelan
yang dikenakan juga boleh melibatkan terhadap orang-orang terdekat remaja yang
lari dari rumah itu, sebagai contoh label turut dikenakan terhadap
keluarganya seperti melabel ibu bapa remaja tersebut kerana tidak mampu menjaga
anak-anak mereka dengan baik. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan remaja
ini berasa malu, mereka tidak berpuas hati dengan labelan yang dikenakan
terhadap dirinya dan keluarganya, sebagai tindak balasnya remaja terus mengulangi
tingkah laku lari dari rumah.
Tindakan
melabel remaja ini merupakan faktor mengapa remaja lari dari rumah. Sebagai
contohnya di sekolah tindakan guru-guru melabel secara negatif kepada
pelajar akan menyebabkan pelajar tersebut menghadapi tekanan sehingga sanggup
lari dari rumah (Neubeck & Neubeck, 1999). Situasi-situasi seperti ini
menjelaskan menunjukkan kepada kita bahawa pengaruh labelan atau stigma yang
diberikan kepada seseorang remaja akan menyebabkan mereka cenderung terjebak
dengan masalah sosial seperti dalam masalah lari dari rumah ini.
Kesimpulan
Secara
kesimpulannya isu berkenaan remaja lari rumah ini telah mendatangkan beberapa
masalah tehadap golongan belia dan remaja yang terdapat di negara ini. Kes-kes
remaja lari dari rumah semakin hari semakin membimbangkan kita. Apa yang
diharapkan ialah majoriti golongan remaja di negara ini tidak terjerumus dengan
masalah-masalah sosial seperti ini, kita sedia maklum bahawa golongan ini
adalah merupakan bakal pemimpin pada masa akan datang yang mana menjadi modal
insan untuk mengerakkan pelbagai aspek pembangunan dari segi ekonomi, sosial
dan sebagainya lagi. Jika kebanyakan remaja pada masa kini tenggelam dengan
masalah seperti ini, maka sudah tentu negara kita akan ketandusan golongan pemimpin
pada masa akan datang. Oleh itu penulisan berkenaan remaja yang terlibat dengan
kes lari rumah ini telah membincangkan aspek-aspek ini dari pelbagai sudut.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti menyebabkan remaja terlibat
dengan masalah ini, kesannya banyak kesan-kesan negatif yang mungkin dihadapi
oleh remaja yang terlibat dalam kes lari dari rumah ini. Risiko-risiko yang
dihadapi oleh remaja ini perlu diatasi melalui beberapa langkah yang perlu
diambil oleh pelbagai pihak sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Program-program intrevensi yang dijalankan diharapkan dapat membantu
usaha-usaha yang dijalankan bagi mencegah golongan remaja terjebak dalam
masalah kes lari dari rumah ini. Dari sudut psikologikal dan sosiologikal pula
terdapat beberapa teori yang dikenal pasti boleh dikaitkan dengan tingkahlaku
lari dari rumah di kalangan remaja ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan