Rabu, 2 Disember 2015

PELAN HAK ASASI BERACUAN MALAYSIA

MANIFESTASI kehidupan pascamaterial de­wasa ini yang dipacu teknologi media baharu telah menghasilkan masyarakat yang mengutamakan idealisme dan retorik kebebasan memberi pandangan, hak bersuara dan keinginan penampil­an dan ekspresi diri lebih daripada soal-soal asas makan minum, pakai­an dan tempat tinggal yang tidak lagi menjadi isu dan masalah kompleks kepada diri mereka.

Justeru dalam sebuah negara dan masyarakat pascamaterial seper­ti Malaysia hari ini, cabaran utama bagi tadbir urus masyarakatnya ialah untuk menangani idealisme dan retorik masyarakat yang semakin bersikap kritikal terhadap proses membuat keputusan melibatkan hak-hak mereka dan kelompok-kelompok yang dianggap mewakili kepentingan mereka. Proses pembentukan fenome­na masyarakat pascamaterial yang bersifat kritikal di Malaysia yang bermula sejak 30 tahun lalu sebenarnya telah terzahir di peringkat global, seperti yang telah diteliti dan diungkapkan Ronald Inglehart dalam karya beliau Postmaterial Society. Fenomena masyarakat pasca­material yang rata-rata bertumpu di negara-negara maju di Barat yang lebih awal menikmati kehidupan material dimulakan dengan kese­daran dan penyebaran idealisme dan retorik hak-hak buruh seperti kebebasan mewujudkan kesatuan sekerja pada 1970-an, hak-hak alam sekitar seper­ti pemeliharaan hutan tropika pada 1980-an dan hak-hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara pada 1990-an.                                                              

Dalam mengemukakan idealisme dan retorik pascamaterial seper­ti hak-hak buruh, hak-hak alam sekitar dan hak-hak asasi manusia, kerajaan dan NGO bekerjasama rapat mempromosi, mempopularkan dan menentukan agenda bagi menyebar luas idealisme dan retorik hak-hak tersebut. 

Berbanding hak-hak buruh dan alam sekitar yang semakin kurang menjadi isu dan keutamaan kerajaan dan NGO Barat dewasa ini, persoal­an mengenai hak asasi manusia kini menjadi tumpuan bagi kebanyakan kerajaan dan NGO, serta tidak ketinggalan badan-badan antarabangsa seper­ti agensi-agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi pemangkin idealisme dan retorik hak-hak ini di peringkat antarabangsa.

Penyebarluasan idealisme dan retorik hak asasi manusia masyarakat pascamaterial negara-negara Barat yang menular dalam masyarakat global kini semakin menjadi penanda aras rekod hak asasi manusia negara-negara tersebut dalam kalangan masyarakat global, khususnya melalui sistem dan mekanisme PBB. Dalam konteks ini, negara dan masyarakat pascamaterial Malaysia juga tidak ketinggalan diheret dalam kancah perdebatan hak asasi manusia. Sudah semestinya penglibatan Malaysia dalam polemik semasa hak asasi manusia bertepatan dengan manifestasi negara dan masyarakat yang telah melalui dan mengalami fenomena pascamaterial.

Persoalannya apakah penglibat­an negara dan masyarakat pascamaterial Malaysia dalam debat hak asasi manusia ini benar-benar bersifat kritikal sesuai dengan sifat asal yang terbit daripada idealisme dan retorik kritikal pascamaterial seperti mana ketika dicetuskan? Atau apakah debat dan polemik mengenai idealisme dan retorik hak asasi manusia di Malaysia tidak lebih daripada luahan dan desakan pandangan dan pemikiran yang tidak peka dan kritikal terhadap asal-usul, motif dan falsafah yang melatari kesedaran dan perkembangan hak asasi manusia di Barat itu sendiri?

Negara dan masyarakat pascamaterial Malaysia yang baru menyerlah sejak kebelakangan ini sewajarnya lebih kritikal terhadap idealisme dan retorik yang ingin mereka kemukakan sebagai sebahagian jati diri masyarakat pascamaterial seperti mana yang tumbuh di Barat.

Dalam mengemukakan, meng­anjur dan memperdebatkan isu-isu hak asasi manusia misalnya masyarakat Malaysia perlu lebih peka terhadap naratif atau jalan cerita hak asasi yang ingin mereka ketengahkan. Rakyat Malaysia tidak sewajarnya dihidangkan oleh naratif hak asasi manusia yang dicedok bulat-bulat daripada falsafah dan pemikiran yang terbit daripada pengalaman kehidupan peradab­an Barat yang tidak sama dengan pengalaman kehidupan masyarakat kita khususnya di benua Asia dan Timur ini.

Kelompok-kelompok penganjur, penyebar dan penyeru juga tidak boleh sekadar menyalin fahaman dan amalan hak asasi ala Barat kepada rakyat Malaysia tanpa mereka terlebih dahulu bersifat kritikal terhadap latar belakang falsafah dan pemikiran yang mencetuskan faham hak asasi peradaban Barat. Lebih tidak adil dan malang jika kelompok-kelompok ini sekadar mengulang-ulang mantera hak asasi Barat untuk dipaksakan pula kepada rakyat Malaysia menerimanya.

Terlalu banyak fahaman hak asasi Barat atas nama dan justifikasi kebebasan, kesejagatan, demokrasi yang hakikatnya tidak serasi dan bertentangan dengan nilai dan kecenderungan masyarakat kita. Pendekatan dan sikap kritikal terhadap fahaman hak asasi manusia Barat itu sendiri adalah titik permulaan penting dalam merealisasikan sifat kritikal masyarakat pascamaterial Malaysia dalam menggarap idealisme dan retorik hak asasi manusia.

Tanpa permulaan kritikal ini, idealisme dan retorik hak asasi manusia Malaysia tidak lebih sekadar propaganda yang naif terhadap falsafah dan politik hak asasi manusia yang menjadi bahagian penting strategi penerusan hegemoni pemikiran dan kehidupan Barat terhadap bekas negara jajahan mereka.

Berdasarkan pemerhatian tersebut, maka masyarakat dan NGO perlu melakukan penaakulan serius tentang Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang sedang diusahakan Kerajaan Malaysia, susulan saranan Perisy­tiharan dan Program Tindakan Vienna (VDPA 1993). Penumpuan khusus perlu diberi terhadap usaha mengetengahkan naratif hak asasi manusia beracuan Malaysia yang mempertahankan asas-asas kene­garaan, khususnya keistimewaan Islam melalui fasal 3(1), kedaulatan Raja-raja Melayu (fasal 181), kewarganegaraan (Bahagian Ketiga), hak-hak keistimewaan Melayu, Bumiputera dan hak-hak absah kaum lain (fasal 153) serta hak-hak kebebasan asasi yang dijamin melalui Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, komitmen yang bersesuaian melalui syor-syor sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada tahun 2009 dan 2013, serta input-input interaktif dari sesi bagi konvensyen-konvensyen yang telah diratifikasi Negara ini, iaitu Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (UNCRPD) juga perlu dipertimbangkan.

Pendekatan NHRAP harus me­num­pukan kepada lima perkara utama, iaitu Institusi Pengupayaan Ekosistem Hak Asasi Manusia, Perjanjian Antarabangsa Hak Asasi Manusia, Kumpulan Fokus dan Rentan, Sektor dan Bidang Keutamaan serta Isu-isu Khas dalam Negara untuk membentuk jangkauan tindakan yang menyeluruh, inklusif malah bertanggungjawab membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan.
Oleh kerana kekuatan dan penga­laman Malaysia bersandarkan aspirasi Perlembagaan Persekutuan dan sejarah peradaban lebih dekat dengan fitrah kemanusiaan, maka model NHRAP yang ditawarkan bakal menangani kesan buruk yang terhasil daripada hegemoni Barat serta fenomena masyarakat pascamaterial, lantas menyelamatkan apa yang masih kita miliki untuk mewujudkan masyarakat diredai Allah SWT.


Source : Utusan Online, Azril Mohd.Amin, 06 November 2015
AZRIL MOHD. AMIN  |  06 November 2015 6:05 PM

3 ulasan:

  1. Kita sebagai manusia seharusnya memikirkan jalan penyelesaian masalah supaya golongan tertentu beroleh hak masing-masing

    BalasPadam